Khamis, 11 September 2008

Kemana Wang Zakat Malaysia dibawa.

Di era pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz r.a, dikatakan pengurusan zakat berada pada tahap paling efisien dalam sejarah orang-orang Islam berkerajaan.

Amirul mukminin ini amat berhati-hati dalam penggunaan duit rakyat dari Baitulmal apatah lagi dalam urusan pengagihan kutipan zakat yang menjadi sumber kewangan utama yang menggerakkan pentadbirannya.

Dia sendiri turun padang untuk memeriksa sendiri kalau-kalau para pegawai kerajaannya terlepas pandang terhadap kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat yang layak mendapat bantuan kerana termasuk dalam asnaf zakat.

Haram ke atas dirinya menyalahgunakan khazanah negara untuk keselesaan peribadi dan keluarga hatta dari cahaya pelita yang minyaknya dibeli menggunakan duit kerajaan..

Kini, sejarah menjadi saksi kepada keunggulannya dalam pengurusan Baitulmal amnya dan pengurusan zakat khasnya. Kemuncak kejayaan Khalifah agung itu adalah bila berlakunya satu keadaan di mana tiada seorangpun dalam negaranya yang layak menerima zakat!

Modal Tazkirah

Saya tertarik terhadap kisah kejayaan cemerlang ini setelah ianya dijadikan modal tazkirah oleh beberapa orang imam tarawikh yang sempat saya copongkan telinga ini mendengarnya sepanjang minggu pertama Ramadhan ini.

Dalam kupasan tentang kecemerlangan itu saya dapati ada beberapa perkara yang menjadi tunjangnya;

Pertama, kesedaran masyarakat Islam yang tinggi pada masa itu untuk menunaikan zakat sesuai dengan perintah Allah s.w.t yang sering menggandingkannya dengan kewajipan solat dalam ayat-ayat Al-Qur’an,

Kedua, pemerintah yang bersifat amanah dan tidak menyalahgunakan kutipan zakat untuk kesenangan peribadi, keluarga dan kroni,

Ketiga, sistem agihan yang efisien yang digerakkan oleh pegawai-pegawai yang amanah dan berdedikasi (tentunya melalui tarbiyah berterusan dan amalan solat 5 waktu yang dititikberatkan oleh Khalifah),

Keempat, sikap pemerintah yang tidak berlepas tangan dan sentiasa turun padang untuk memeriksa perjalanan sistem penyampaian awam dan memastikan setiap potongan kek ekonomi sampai ke sasaran yang tepat, dan,

Kelima, keimanan kukuh terhadap institusi zakat dan Baitulmal sehingga turun Barakah dan natijahnya zakat menjadikan ekonomi negara Islam itu berkembang kukuh.

Dedah Umno khianat, rakyat dehaka?

Dalam pada itu, timbul persoalan di fikiran saya tentang situasi pada hari ini. Adakah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan zakat di Malaysia ini benar-benar amanah dan menjalankan tugas mereka dengan berkesan?

Adakah mungkin di sana-sini berlakunya ketirisan, penyelewengan atau salah urus terutamanya akibat nafsu Iblis para pemuka-pemuka Umno yang sering mempergunakan institusi-institusi Islam di Malaysia untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni?

Oleh kerana institusi-institusi Islam di negara ini dipayungi oleh Raja-Raja Melayu, apabila dibongkarkan sebarang penyelewengan dan salah urus oleh juak-juak Umno maka mereka akan mempergunakan nama-nama Sultan dan kedaulatan baginda untuk menutupnya.

Dalam ertikata lain mereka menyamakan perbuatan mendedahkan pengkhianatan Kelompok Sekular Umno terhadap Islam sebagai perbuatan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu!

RM2.32 bilion duit zakat

Semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan di Dewan Rakyat pada 7 Julai 2008, YB Zulkifli Noordin (PKR – Kulim Bandar Bahru)mempersoalkan keberkesanan sistem agihan zakat di Malaysia tatkala jumlah kutipan mencecah RM2.32 billion bagi tempoh 2005, 2006 dan 2007.

Dalam tempoh tersebut juga, hanya RM1.4 billion diagihkan kepada mereka yang layak menerimanya.

Persoalannya mengapakah bakinya sebanyak RM920 juta tidak diagihkan.

Apakah kita sudah mencapai tahap kegemilangan Khalifah Umar r.a sehinggakan tiada seorangpun lagi di Malaysia ini yang layak menerima duit zakat?

Adakah duit itu ditahan untuk dilaburkan semula dalam syarikat-syarikat kroni Umno?

Adakah sudah menjadi satu kerja baru kepada Baitulmal untuk melabur dan berniaga menggunakan duit zakat?

Banyak lagi persoalan yang mungkin boleh ditimbulkan di sini akibat keengganan institusi-insitusi zakat dan baitulmal yang ditunggang oleh Kelompok Sekular Umno ini mengagihkan duit kutipan zakat yang mencecah ribuan juta ringgit itu.

Dengan jumlah kutipan yang semakin meningkat saban tahun itu, YB Zulkifli Noordin mempersoalkan beberapa kes yang dialaminya sendiri yang boleh dijadikan bukti bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem agihan zakat di negara ini.

Beliau menceritakan pengalaman peribadinya bertemu seorang pemuda dari Terengganu yang memohon bantuan dari khalayak tazkirahnya di sebuah bank tempatan di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

RM5,000 untuk pembedahan isteri

Pemuda tersebut memerlukan bantuan untuk perbelanjaan pembedahan isterinya yang menghidap jangkitan kuman di hati. Jumlah yang diperlukan kira-kira RM5,000.

Isterinya perlu dibedah dalam tempoh 3 bulan atau berkemungkinan menghadapi komplikasi serius termasuk kematian.

Pemuda tersebut telah memohon bantuan dari Pusat Zakat Terengganu dan hanya diberikan RM500 sahaja.

Dia kemudiannya memohon bantuan di Pusat Zakat Kuala Lumpur. Tahukah tuan/puan permohonannya ditolak atas alasan beliau orang Terengganu dan tidak layak kerana bukannya berasal dari Kuala Lumpur!

Secara peribadi – jika tidak menjadi satu kesalahan atau dosa – saya ingin berjumpa dengan juak-juak Umno yang membuat peraturan bodoh itu dan melempangnya selepuk dua kerana ketololannya membuat dasar menyebabkan nyawa orang-orang miskin tidak dapat diselamatkan.

Kalau dia memberikan alasan agihan untuk orang Kuala Lumpur tidak mencukupi, saya ingin melastik kepalanya sambil memberitahu bahawa dari jumlah RM920 juta duit zakat yang belum diagihkan itu, RM133,580,766 adalah duit yang masih ada dalam kantung Pusat Zakat Kuala Lumpur!

Dapatkah mangkuk Umno itu menjustifikasikan kenapa dari sejumlah RM446,937,891.10 sen kutipan zakat di Kuala Lumpur pada 2005, 2006 dan 2007 hanya RM313,357,123.75 sen sahaja yang diagihkan kepada asnaf yang layak?

Pembuat dasar yang bangang itu wajar dilempang dan dipersalahkan bukannya pegawai-pegawai bawahan yang hanya bekerja mengikut arahan.

Sayangnya, mereka terpaksa bertugas atas arahan juak-juak Umno yang terkenal dengan kedajalannya merosakkan institusi-institusi Islam di Malaysia.

Bukan kes terpencil

Ini bukan satu-satunya kes unik dan terpencil.

Kita boleh melihat di mana-mana umat Islam Malaysia meminta sedekah, mengemis dan merayu-rayu memohon bantuan untuk perbelanjaan perubatan dan pembedahan.

Dalam pada itu, kegagalan pengurusan zakat dapat tuan/puan lihat sendiri melalui pendedahan-pendedahan dalam rancangan Bersamamu di TV3 setiap minggu.

Tuan/Puan boleh melihat bagaimana selepas 51 tahun merdeka masih ada lagi orang Islam yang tinggal dalam rumah umpama reban ayam, masih ada anak-anak orang Islam yang makan nasi berlauk garam, masih ada ibu-ibu tunggal beragama Islam yang hidup merempat, masih ada anak-anak orang Islam yang tidak mampu membeli buku dan melanjutkan pelajaran, masih ada golongan OKU beragama Islam terdampar tanpa pembelaan, masih ada pesakit kronik beragama Islam terbiar tanpa rawatan sewajarnya, masih ada pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama yang daif dan usang, DAN pelbagai lagi keadaan yang menyedihkan dan menyayat hati hasil dari kemungkaran dan kedajalan Kelompok Sekular Umno yang menyempitkan perlaksanaan Syariah Islam untuk kepentingan taliperut mereka dan keluarga mereka selama ini.

Dalam masa yang sama Pusat-pusat Zakat di Malaysia masih belum mengagihkan duit zakat sebanyak RM920 juta!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Bolehkah tuan/puan menerima ini sebagai satu kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang atau selamat, aman dan makmur Imam Islam Hadhari Al-Pandir Dolah Badawi dan ianya menyamai kejayaan Khalifah Umar Abdul Aziz r.a.?

Duit zakat RM2 bilion – cadangan YB Zulkifli Noordin

Menurut YB Zulkifli Noordin lagi, “Saya kira dengan jumlah zakat sebanyak RM2.32 bilion ini, sepatutnya kita sudah punya hospital-hospital Islam di seluruh ibu negeri di Malaysia ini.”

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar dipertimbangkan lebihan agihan zakat itu untuk digunakan bagi membantu golongan fakir dan miskin tegar mengerjakan fardhu haji.

Sememangnya saya bersetuju!

Saya tidak tahu sama ada cadangan-cadangan ini bertepatan dengan kehendak Syarak TETAPI saya tahu ianya lebih bermanfaat daripada diagihkan kepada cawangan-cawangan Umno untuk membiayai hadiah juara pertandingan karaoke Puteri Umno!

Selepas Pakatan Rakyat mengambilalih 5 negeri dalam PRU12 Mac lalu, beberapa ketua kabilah Kelompok Sekular Umno melompat marah apabila kerajaan-kerajaan negeri yang baru mula meneliti akaun-akaun dan rekod aktiviti-aktiviti pusat zakat di negeri-negeri tersebut sepanjang ditadbir Kelompok Sekular Umno.

Kemudiannya terdedahlah beberapa kebobrokan pengurusan dan penyelewengan duit zakat di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Yang paling tinggi ‘melompat’ dan terkinja-kinja adalah Rahman Palil, Bekas EXCO Agama Selangor di bawah Khir Toyo dahulu, setelah kerajaan Selangor yang baru mendedahkan penglibatan ‘tangan-tangan kotor’ manusia Umno yang merompak duit zakat yang merupakan hak fakir miskin di negeri itu.

Rahman Palil ‘melompat’ hingga ke istana dan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempolitikkan institusi-institusi agama.

Sedangkan realitinya kerajaan negeri yang baru terpaksa memperbaiki ‘kerosakan’ dan ‘kemungkaran’ yang dilakukan juak-juak Umno di Selangor yang sudah ‘masuk poket’ dan ‘salah urus’ duit zakat sebanyak RM485,116,782.55 sen sepanjang tempoh 2005, 2006 dan 2007.

Alhamdulillah, dengan terbentuknya kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang disamping mengekalkan Kelantan, kita telah berjaya menyelamatkan berbilion duit zakat dari dirompak oleh juak-juak Umno selama ini.

Semoga segala kedajalan dan kemungkaran Umno selama ini dapat dihentikan dan diperbaiki kerosakannya oleh pentadbir-pentadbir baru yang beriman dan takut kepada Allah s.w.t sebagaimana juga kisah para pegawai Khalifah Umar Abdul Aziz r.a yang diceritakan tadi.

Selamatkan zakat fitrah kita tahun ini!

Tahun ini, beratus-ratus juta RM lagi akan dikutip oleh pusat-pusat zakat dari umat Islam di seluruh Malaysia dalam bentuk zakat fitrah.

Dalam menunaikan kewajipan kita itu, pernahkah kita bertanya adakah wang zakat fitrah yang kita bayar saban tahun itu akan diuruskan dengan baik dan disalurkan dengan betul kepada mereka yang layak menerimanya.

Semenjak kewajipan membayar zakat jatuh ke atas pundak saya, saya sentiasa akan memastikan tidak ada sedikitpun wang itu jatuh ke tangan majlis agama atau pusat zakat yang diperkudakan oleh Kelompok Sekular Umno. Tidak kira apa jenis zakat, termasuklah zakat fitrah.

Justeru, saya sering mendapatkan nasihat alim ulama untuk mengenalpasti pihak yang layak menerimanya, dan dalam kebanyakan kes pembayaran dibuat secara terus kepada mereka.

Dengan itu timbul ketenangan di hati dan saya tidak perlu sangsi lagi kalau-kalau wang tersebut disalahgunakan oleh parti sekular yang semakin mereput itu, yang sudah tidak peduli halal haram, tidak peduli yang hak dan juga yang batil.

Dan saya akan berterusan begini sehinggalah negeri yang saya bermastautin ini diperintah oleh seorang ulama yang takut kepada Allah s.w.t dan besrsifat amanah seumpama Khalifah Umar r.a.

Selagi diri ini bernyawa, jangan haraplah juak-juak Umno akan merasa satu sen pun duit zakat yang berpunca dari rezeki yang Allah s.w.t kepada diri saya dan keluarga.

Adakah anda ingin membiarkan juak-juak Umno terus meng’ketedarah’ duit zakat yang anda bayar saban tahun sehingga ke hari kiamat? Lakukan sesuatu. Selamatkan zakat fitrah kita tahun ini!

Petikan dari Bulan Penuh 2012

2 ulasan:

Ibnu Mohyeddin berkata...

duit zakat dia buat pinjaman lah mek tu yang asik abis jer n tak berkat

Bulan Penuh 2012 berkata...

salam ziarah,

anak bulan

Bulan Penuh 2012